Thursday, 24 December 2015



"....Sesungguhnya mati itu adalah pasti. Tidak akan cepat mahupun lambat walau sesaat..."

Seminggu teman ayah dekat wad di HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia). Ayah masuk wad emergency ahad yg lepas 13/12/15 kerana sesak nafas. Sudah 2 minggu ayah tidak selera makan dan malam itu ayah tiba-tiba seperti hendak muntah. Jadi Mak, Along, Awin dan Adik bawa ayah ke wad kecemasan untuk dapatkan rawatan segera. Memang ayah kerap masuk hospital sejak buat operation bypass jantung pada tahun 2010 yang lalu.

Bangun solat subuh pagi tu, baru nampak message dari Awin yang beritahu peihal ayah di HUKM. Aku bergegas siap untuk ke sana. Melihat keadaan ayah, hati ku sayu. Ayah nampak letih sangat. Ku tanya ayah dah makan ke. Ayah kata belum. Masa itu sudah pukul 9 pagi. Aku beritahu doktor dan diberi sebekas kueyteow goreng. Aku cuba suap ayah, masuk saja dalam mulut, ayah seperti hendak muntah. Aku fikir makanan ni memang bukan makanan biasa yang menyelerakan ayah. Jadi aku minta izin untuk belikan bubur di cafe. Bubur dan campur sup, aku suapkan ayah makan. Alhamdulillah, ayah mahu makan. Beberapa sudu juga ayah makan. Rasa gembira sangat! Masa bercerita dengan ayah, ku lihat air mata ayah mengalir di tebing mata. Sebak..


Sebab wad penuh, ayah di tahan di wad emergency dahulu. Aku tahu ayah tidak selesa keadaan begitu, jadi aku bertanya doktor kalau keadaan ayah membolehkan aku transfer ayah ke hospital lain. Pada fikiran ku mahu membawa ayah ke hospital swasta yang memberikan keselesaan wad dan rawatan yang lebih pantas. Namun, doktor memberitahu yang keadaan ayah tidak stabil untuk di pindah ke tempat lain. Petang itu, ayah dapat masuk ke wad pemerhatian. Keadaan di situ lebih baik. Aku rasa agak lega dan bersyukur ayah dapat tempat lebih selesa. Ku teman ayah sehingga malam sebab aku suruh mak dan adik-beradik lain balik berehat setelah semalam tidak tidur.

Setiap hari aku datang teman ayah di wad. Hari isnin dan selasa tu ayah nampak ceria. Ayah siap telefon awal-awal subuh dan bagitau aku agar tak payah tergesa-gesa nak datang cepat-cepat.


"...angah tak payah datang cepat-cepat, ayah OK..ayah dah siap mandi & gosok gigi semua dah ni..solat pun dah siap. Ayah pun dah sarapan bubur tadi..."

MasyaAllah, lega sangat hati sebab ayah nampak makin sihat. Lepas hantar anak-anak ke taska, aku bergegas ke hospital. Nak datang cepat jugak dekat ayah.
Duduk dengan ayah, seperti biasa melayan ayah bersembang. Macam-macam cerita. Ayah cerita masa zaman ayah bekerja dulu dia rasa seronok sangat dan masa tu cepat je berlalu. Memang ayah hebat. Seorang penyelia kilang kayu yang serba boleh dan berdedikasi. Ayah di hantar posting di merata tempat untuk latih pekerja di sana dan transfer knowledge.

Rabu 16/12/15 ayah kini di wad 6J tingkat 6. Doktor dah schedule untuk buat Echo Test. Ujian ni untuk tengok tahap degupan jantung ayah. Medical Officer (MO) inform yang tahap jantung ayah lemah! Hanya 20% dan cardiologist advise untuk buat procedure angiogram. Procedure ini boleh dikatakan seperti suatu proses 'penyiasatan' keadaan jantung. Di mana melalui ujian ini dapat kenal pasti di mana 'blockage' pada salur darah. Jika bukan salur yang kompleks, boleh di pecahkan sumbatan itu dengan memasukkan stent.

Stent di letakkan dalam salur darah untuk mengembangkan saluran yang tersumbat.


Namun doktor cakap ayah belum sampai tahap kritikal yang memerlukan procedure angiogram itu dilakukan sekarang. Lagipun mesin angiogram di HUKM sekarang rosak. Aku rasa tidak sedap hati dan bertanya bila boleh lakukan procedure itu. Doktor cakap lagi 6 minggu untuk next appointment dan ayah boleh discharge petang nanti.


"..ermmm, doktor..boleh ke ayah saya bertahan nak tunggu 6 minggu lagi? Dari pemahaman saya denyutan jantung 20% tu macam lemah dah tu..ayah pun tak selera makan dah 3 minggu ni..nampak lemah je badan dia.."

Doktor cakap ayah ok. Ada satu lagi mesin angiogram sebenarnya tapi itu khusus untuk kegunaan kes yang kritikal.

Gulp.

Dalam hati aku rasa tak keruan. Aku fikir doktor ni nak tunggu tahap kritikal yang macam mana pulak lagi?
Aku tanya lagi, berapa kos buat angiogram di luar? Aku cadang-cadang nak bawak ayah buat angiogram tu cepat-cepat biar dapat kenalpasti punca sebenar ayah sakit dan biar ayah cepat dapat rawatan dan sihat!

"...kalau di hospital Serdang, kos murah je tapi que nya panjang..mungkin setahun kena tunggu. Kalau di IJN anggaran kos 20 ke 30 ribu kot.." - kata doktor.

Aku pun berkira-kira nak bawak ayah ke IJN untuk checkup lanjut dan dapatkan rawatan segera. Kami bincang adik-beradik dan setuju. Kami buat kira-kira untuk kumpul semua duit simpanan yang ada. 

Tiba-tiba petang tu..

"...angah! Ayah jatuh ni cepat!.." Mak panggil ketika kami berbincang di luar wad.

Ayah cuba minum susu, namun tekaknya mual dan terasa nak muntah. Ayah bergegas ke sinki walaupun mak dah minta muntah dalam bekas dan ayah terjatuh. Ketika tu ayah pakai stokin. Lantai pula licin dan ayah terjatuh duduk di tepi sinki. Nurse dan MO bergegas memberi bantuan. Ayah sedar tapi tidak ingat kejadian sebenar.

Jadinya, doctor tak benarkan discharge.

Bersambung....

0 comments:

Post a Comment